Wednesday, February 23, 2011

JadiLah taNgan di atas



Orang yang paling beriman, bertaqwa dan berilmu ialah orang yang membawa orang lain bertaqwa, beriman dan berilmu bersamanya!

Bagaimana membawa orang lain berjaya bersama kita? hmm… amalkan sikap memberi. Kita mesti memberikan ilmu, pimpinan, panduan, kemahiran kepada orang di sekeliling kita. Jangan bakhil menabur kebaikan. Monopoli ilmu, tenaga, bakat dan kemahiran yang ada hanya akan menyekat pertumbuhan dan perkembangan diri kita sendiri. Percayalah, memberi kepada orang lain samalah seperti memberi kepada diri sendiri. Tangan yang menghulur bunga mawar pasti berbau harum! 


RASULULLAH SAW PALING BANYAK MEMBERI

Justeru, Islam sangat menganjurkan agar umatnya memberi. Bahkan tidak salah kalau dikatakan menjadi seorang Islam secara automatik menjadi orang yang memberi. Islam ialah agama yang sangat sinonim dengan sikap memberi. Bayangkan, kedatangan Rasulullah s.a.w adalah untuk memberi rahmat kepada sekalian alam. Sejarah hidup Rasulullah saw memaparkan bagimana baginda memberikan tenaga, harta malah jiwanya untuk umat manusia mendapat hidayah Islam.

Bahkan salah satu sifat yang wajib bagi Rasulullah s.a.w ialah tabligh, ertinya menyampaikan. Apa yang baginda terima sebagai wahyu daripada Allah akan terus disampaikannya (diberikannya) kepada umat tanpa disembunyikan, disekat atau diselewengkan. Begitu tulus dan telus baginda dalam memberi.

Sejarah kehidupan Rasululah saw diukir indah oleh sikap memberi. Baginda memberi bukan sahaja sewaktu senang, bahkan semasa susah. Sewaktu susah, Rasulullah saw memberi penuh kesabaran. Sewaktu senang baginda memberi dengan kesyukuran. Orang Arab Badwi yang menerima kambing pemberiannya pernah berkata, “dia memberi tanpa takut kepada kekurangan. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan, sifat memberi baginda lebih terserlah daripada biasa.

TRADISI MEMBERI

Dulu, kini dan selamanya Islam sangat mementingkan tradisi memberi ini. Islam itu sendiri ertinya selamat dan memberi keselamatan. Dalam rukun Iman dan rukun Islam terpancar anjuran memberi itu secara langsung atau tidak langsung. Dalam bacaaan solat sahaja misalnya, kita diajar, dilatih dan didisiplinkan untuk memberi pujian kepada Allah, berselawat kepada Rasulullah, memberi salam kepada malaikat dan mendoakan orang-orang Islam yang lain.

Begitu juga dengan ajaran puasa yang antara hikmahnya agar kita merasai kesusahan orang miskin dan dengan itu kita terdorong untuk memberi bantuan kepada mereka. Dan pada bulan Ramadan kita dianjurkan untuk bersedekah kepada fakir miskin, memberi makanan untuk orang berbuka puasa dan sebagainya. Manakala tuntutan mengeluarkan zakat adalah ditunjangi oleh kewajipan memberi kepada lapan golongan yang sangat memerlukan dalam masyarakat. Begitu juga dengan amalan berkorban binatang, aqiqah dan menjamu orang-orang miskin, semuanya berasaskan sikap memberi.
Dalam adab-adab pergaulan juga, umat Islam digalakkan untuk memberi salam sebaik sahaja bertemu dengan saudara seIslam kita. Dengan memberi salam bererti kita “memberi” doa demi kesejahteraan saudara kita. Kita digalakkan sering berziarah (ini memerlukan kita memberi masa, wang dan tenaga), memberi hadiah, mengucapkan tahniah, menyampaikan takziah dan lain-lain perlakuan yang bersifat memberi.

TUHAN ITU AL WAHHAB (MAHA PEMBERI)

Dan di atas segala-galanya itu, Allah adalah Pemberi yang Maha Pengasih dan Pemurah. Kita diwajibkan mengenal sifat Al Wahhab (Maha Pemberi) ini. Bukan sahaja wajib belajar, memahami dan menghayati Al Wahhab malah kita dituntut untuk meniru dan menteladani sifat mulia dan baik itu dalam kehidupan.

i) Allah memberi tanpa pinta dibalas.
ii) Allah memberi sebelum diminta.
iii) Allah memberi berulang-ulangkali dan berterusan.
iv) Memberi segala sesuatu yang sangat berharga.
v) Memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan Kebaikan

Allah berikan kita harta, agar kita bersedekah. Diberikan-Nya kita ilmu agar kita mengajar dan berdakwah kepada masyarakat. Diberikan-Nya kita iman agar kita berbaik-baik, berkasih sayang dan berukhawah sesama manusia, kepada haiwan, tumbuhan bahkan kepada alam semesta. Tegasnya, Allah bukan sahaja memerintahkan kita menjadi orang yang baik tetapi mesti memberi kebaikan!


MANFAAT DARIPADA MEMBERI


i) Mengikis sifat mazmumah.
ii) Mendapat lebih banyak.
iii) Mewujudkan perpaduan dan keharmonian.


Berikanlah apa yang Allah berikan kepada kita kerana di sana ada hak orang lain yang diamanahkan kepada kita. Jangan jadi seperti Qarun yang menganggap kekayaan diri kerana kepandaiannya. Ya, kita yang memerah keringat. Ya, kita yang penat berfikir. Tetapi dengan tenaga siapa kita berusaha? Tangan, kaki, bahu dan segala pancaindera itu hakikatnya milik siapa?

Semua itu bukan milik kita. … segala-galanya pemberian Allah. Kita bukan pemilik, kita hanya peminjam. Sebagai khalifah, kita memikul amanah untuk memberi kebaikan dengan segala kebaikan yang kita terima. Allah memberi untuk kita memberi.
______________________________________________________________________

Tuesday, February 22, 2011

BeruntunGlah kalian wahai Wanita

Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda; Doa adalah senjata bagi orang mukmin, tiang bagi agama dan nur bagi langit dan bumi. [Hadis Riwayat Hakim]
Jangka masa antara selepas azan dan sebelum iqamat perlu direbut dengan sebaik-baiknya untuk berdoa, kerana dijanjikan akan termakbul, insya ALLAH.


Daripada Anas bin Malik, Nabi s.a.w. bersabda:

"Doa tidak ditolak di antara waktu azan dan iqamat."

[Hadits Riwayat Abu Daud dan Al-Tirmizi]

Kisah Rasulullah Berdoa
Anas bin Malik meriwayatkan bahawa pernah berlaku musim kemarau pada zaman Rasulullah. Ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar pada hari Jumaat, seorang Arab Badwi bangkit, lalu bertanya: "Wahai Rasulullah, segala harta benda telah musnah. Seluruh ahli keluarga juga kelaparan. Berdoalah kepada Allah untuk kami agar Allah turunkan hujan."
Baginda lalu mengangkat kedua belah tangan. Pada waktu itu tidak ternampak tompokan-tompokan awan. Tiba-tiba awan seumpana buih berarak. Baginda masih tidak turun dari mimbar hinggalah kami melihat hujan mula menitis membasahi janggutnya. Seharian itu kami ditimpa hujan. Begitu juga keesokannya dan hari selepasnya sehingga tiba hari Jumaat seterusnya. Pada hari itu, Arab Badwi tempoh hari bangun lagi berkata: "Semua bangunan telah runtuh, harta benda juga telah ditenggelami air. Oleh itu, berdoalah kepada Allah untuk kami, wahai Rasulullah."
Baginda lalu menadah tangan ke langit, lalu berdoa, maksudnya, "Ya Allah, berilah manfaat kepada kami, dan janganlah jadikannya musibah kepada kami." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
  • Mengangkat kedua-dua belah tangan semasa berdoa.
  • Berdoa dengan penuh keikhlasan kepada Allah.
  • Berdoa dengan sabar menanti dimakbulkan Allah.
  • Menggunakan ayat yang ringkas dan padat.

Kelebihan seorang wanita
1.       Doa wanita lebih maqbul dari lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat dari lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulallah SAW akan hal tersebut, jawab baginda : "Ibu lebih penyayang dari bapa dan doa org yg penyayang tidak akan sia-sia."

2.       Wanita yang solehah itu lebih baik dari 1,000 orang lelaki yang tidak soleh.
3.      Seorang wanita solehah adalah lebih baik dari 70 orang wali.
4.      Seorang wanita solehah adalah lebih baik dari 70 lelaki soleh.
5.      Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yg senantiasa menangis kerana takutkan Allah dan org yg takutkan Allah akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.
6.      Barang siapa yg membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan dari anak lelaki. Maka barangsiapa yg menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail AS
7.       Wanita yg tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah SAW) di dalam syurga.
8.      Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa taqwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.
9.      Dari 'Aisyah r.a. "Barang siapa yg diuji dengan sesuatu dari anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya dari api neraka."
10.   Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.
11.     Apabila memanggil akan engkau kedua ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

12.     Wanita yg taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yg dia kehendaki dengan tidak dihisab.

13.   Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan meredhainya. (serta menjaga sembahyang dan puasanya)

14.    'Aisyah r.a. berkata "Aku bertanya kepada Rasulullah SAW. siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita ?" Jawab baginda, "Suaminya". "Siapa pula berhak terhadap lelaki ?" Jawab Rasulullah SAW. "Ibunya".

15.    Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah SWT memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu dari suaminya (10,000 tahun).

16.    Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah SWT mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

17.   Dua rakaat solat dari wanita yg hamil adalah lebih baik dari 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil. Wanita yg hamil akan dapat pahala berpuasa pada siang hari dan beribadat pada malam hari.

18.   Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah SWT

19.   Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah mengurniakan satu pahala haji.

20.  Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

21.    Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.

22.   Wanita yg memberi minum susu kepada anaknya dari badannya (susu badan) akan dapat satu pahala dari tiap-tiap titik susu yangdiberikannya. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 1/2 tahun),maka malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.

23.   Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yg sakit akan mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba, diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dihiburkan hati anaknya Allah memberi 12 tahun pahala ibadat.

24.  Apabila seorang wanita mencuci pakaian suaminya, maka Allah mencatatkan baginya seribu kebaikan, dan mengampuni dua ribu kesalahannya,bahkan segala sesuatu yang disinari sang suria akan meminta keampunan baginya, dan Allah mengangkatkannya seribu darjat untuknya.

25.    Tidakkan putus ganjaran dari Allah kepada seorang isteri yang siang dan malamnya menggembirakan suaminya.

26.  Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suaminya melihat isterinya dengan kasih sayang akan di pandang Allah dengan penuh rahmat.

27.    Wanita yang melayan dengan baik suami yang pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan medapat pahala jihad.

28.  Sabda Nabi SAW: "Ya Fatimah barang mana wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong kumis (misai) dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum akan dia dari sungai-sungai serta diringankan Allah baginya sakaratul maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman dari taman- taman syurga dan dicatatkan Allah baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas Titian Shirat."

29.  Salah satu tanda keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya, cepat pula kehamilannya dan ringan pula maharnya (mas kahwin).

30.  Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya ia menggirangkan engkau, jika engkau memerintah ditaatinya perintah engkau (taat) dan jika engkau berpergian dijaga harta engkau dan dirinya.


_____________________________________________________________________________________