Wednesday, February 23, 2011

JadiLah taNgan di atas



Orang yang paling beriman, bertaqwa dan berilmu ialah orang yang membawa orang lain bertaqwa, beriman dan berilmu bersamanya!

Bagaimana membawa orang lain berjaya bersama kita? hmm… amalkan sikap memberi. Kita mesti memberikan ilmu, pimpinan, panduan, kemahiran kepada orang di sekeliling kita. Jangan bakhil menabur kebaikan. Monopoli ilmu, tenaga, bakat dan kemahiran yang ada hanya akan menyekat pertumbuhan dan perkembangan diri kita sendiri. Percayalah, memberi kepada orang lain samalah seperti memberi kepada diri sendiri. Tangan yang menghulur bunga mawar pasti berbau harum! 


RASULULLAH SAW PALING BANYAK MEMBERI

Justeru, Islam sangat menganjurkan agar umatnya memberi. Bahkan tidak salah kalau dikatakan menjadi seorang Islam secara automatik menjadi orang yang memberi. Islam ialah agama yang sangat sinonim dengan sikap memberi. Bayangkan, kedatangan Rasulullah s.a.w adalah untuk memberi rahmat kepada sekalian alam. Sejarah hidup Rasulullah saw memaparkan bagimana baginda memberikan tenaga, harta malah jiwanya untuk umat manusia mendapat hidayah Islam.

Bahkan salah satu sifat yang wajib bagi Rasulullah s.a.w ialah tabligh, ertinya menyampaikan. Apa yang baginda terima sebagai wahyu daripada Allah akan terus disampaikannya (diberikannya) kepada umat tanpa disembunyikan, disekat atau diselewengkan. Begitu tulus dan telus baginda dalam memberi.

Sejarah kehidupan Rasululah saw diukir indah oleh sikap memberi. Baginda memberi bukan sahaja sewaktu senang, bahkan semasa susah. Sewaktu susah, Rasulullah saw memberi penuh kesabaran. Sewaktu senang baginda memberi dengan kesyukuran. Orang Arab Badwi yang menerima kambing pemberiannya pernah berkata, “dia memberi tanpa takut kepada kekurangan. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan, sifat memberi baginda lebih terserlah daripada biasa.

TRADISI MEMBERI

Dulu, kini dan selamanya Islam sangat mementingkan tradisi memberi ini. Islam itu sendiri ertinya selamat dan memberi keselamatan. Dalam rukun Iman dan rukun Islam terpancar anjuran memberi itu secara langsung atau tidak langsung. Dalam bacaaan solat sahaja misalnya, kita diajar, dilatih dan didisiplinkan untuk memberi pujian kepada Allah, berselawat kepada Rasulullah, memberi salam kepada malaikat dan mendoakan orang-orang Islam yang lain.

Begitu juga dengan ajaran puasa yang antara hikmahnya agar kita merasai kesusahan orang miskin dan dengan itu kita terdorong untuk memberi bantuan kepada mereka. Dan pada bulan Ramadan kita dianjurkan untuk bersedekah kepada fakir miskin, memberi makanan untuk orang berbuka puasa dan sebagainya. Manakala tuntutan mengeluarkan zakat adalah ditunjangi oleh kewajipan memberi kepada lapan golongan yang sangat memerlukan dalam masyarakat. Begitu juga dengan amalan berkorban binatang, aqiqah dan menjamu orang-orang miskin, semuanya berasaskan sikap memberi.
Dalam adab-adab pergaulan juga, umat Islam digalakkan untuk memberi salam sebaik sahaja bertemu dengan saudara seIslam kita. Dengan memberi salam bererti kita “memberi” doa demi kesejahteraan saudara kita. Kita digalakkan sering berziarah (ini memerlukan kita memberi masa, wang dan tenaga), memberi hadiah, mengucapkan tahniah, menyampaikan takziah dan lain-lain perlakuan yang bersifat memberi.

TUHAN ITU AL WAHHAB (MAHA PEMBERI)

Dan di atas segala-galanya itu, Allah adalah Pemberi yang Maha Pengasih dan Pemurah. Kita diwajibkan mengenal sifat Al Wahhab (Maha Pemberi) ini. Bukan sahaja wajib belajar, memahami dan menghayati Al Wahhab malah kita dituntut untuk meniru dan menteladani sifat mulia dan baik itu dalam kehidupan.

i) Allah memberi tanpa pinta dibalas.
ii) Allah memberi sebelum diminta.
iii) Allah memberi berulang-ulangkali dan berterusan.
iv) Memberi segala sesuatu yang sangat berharga.
v) Memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan Kebaikan

Allah berikan kita harta, agar kita bersedekah. Diberikan-Nya kita ilmu agar kita mengajar dan berdakwah kepada masyarakat. Diberikan-Nya kita iman agar kita berbaik-baik, berkasih sayang dan berukhawah sesama manusia, kepada haiwan, tumbuhan bahkan kepada alam semesta. Tegasnya, Allah bukan sahaja memerintahkan kita menjadi orang yang baik tetapi mesti memberi kebaikan!


MANFAAT DARIPADA MEMBERI


i) Mengikis sifat mazmumah.
ii) Mendapat lebih banyak.
iii) Mewujudkan perpaduan dan keharmonian.


Berikanlah apa yang Allah berikan kepada kita kerana di sana ada hak orang lain yang diamanahkan kepada kita. Jangan jadi seperti Qarun yang menganggap kekayaan diri kerana kepandaiannya. Ya, kita yang memerah keringat. Ya, kita yang penat berfikir. Tetapi dengan tenaga siapa kita berusaha? Tangan, kaki, bahu dan segala pancaindera itu hakikatnya milik siapa?

Semua itu bukan milik kita. … segala-galanya pemberian Allah. Kita bukan pemilik, kita hanya peminjam. Sebagai khalifah, kita memikul amanah untuk memberi kebaikan dengan segala kebaikan yang kita terima. Allah memberi untuk kita memberi.
______________________________________________________________________

No comments:

Post a Comment