Thursday, January 20, 2011

Demi Agama


TARIKH 6 Julai 2009, mungkin tarikh yang tidak akan dapat dilupakan oleh keluarga seorang wanita yang bernama Marwa al-Sharbini, 32. Ibu muda yang sedang hamil tiga bulan itu, meninggalkan tragedi yang amat menyayat hati bukan sahaja kepada suaminya serta anak lelakinya yang berusia empat tahun, tetapi kepada seluruh masyarakat Islam di dunia ini.



Sebagai seorang wanita Muslim, Marwa al-Sharbini yang dikurniakan dengan rupa paras yang menawan, bagaimanapun tetap menjaga auratnya setiap kali dia keluar daripada rumahnya daripada pandangan lelaki ajnabi. Setiap kali dia keluar daripada rumahnya, Marwa al-Sharbini akan memakai jilbabnya kerana dia tahu, itulah tuntutan Islam kepada seluruh umatnya.

Namun, penampilan Marwa al-Sharbini itu mengundang perasaan tidak senang pemuda Jerman, Alex W, 28, yang sering mengunugut dan mencacinya. Alex yang sememangnya anti kepada Islam dan orang Muslim, tidak pernah putus asa, mencerca Marwa al-Sharbini setiap kali terserempak dengan wanita tersebut.

Ugutan demi ugutan yang diterima oleh Marwa al-Sharbini akhirnya mendorongnya untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa. Ekoran daripada aduan tersebut, pada tarikh yang ditetapkan, Marwa al-Sharbini bersama suami dan anaknya dipanggil ke mahkamah untuk memberikan penjelasan. Turut srta di dalam sebutan kes tersebut ialah Alex yang didakwa mengugut Marwa al-Sharbini.


Dengan tenang, Marwa al-Sharbini memberikan penjelasan di hadapan hakim mengenai ugutan-ugutan yang diterima olehnya. Marwa al-Sharbini turut mendakwa, alex sering memanggilnya dengan panggilan “pengganas” setiap kali bertemu dengannya. Malah Alex juga mengganggunya dengan kerap mencuba membuka hijab yang dipakai olehnya secara paksa. Namun sebelum selesai penjelasan diberikan, Alex secara melulu menerpa ke arah Marwa al-Sharbini dan terus menikamnya sebanyak 18 kali. Suami Marwa al-Sharbini yang berada di dalam kamar mahkamah tersebut, berusaha menyelamat dan membantu isterinya. Namun secara tidak sengaja, suaminya terkena tembakan pegawai polis ketika menyuraikan pergelutan tersebut. Suami Marwa al-Sharbini yang tercedera, dibawa ke hospital Dresdan dan keadaannya dikatakan parah.

Marwa al-Sharbini disahkan meninggal dan jenazahnya dibawa ke tempat kelahiran dan kediaman kedua-dua ibu bapanya di Mesir. Setibanya jenazah Marwa al-Sharbini, ribuan rakyat Mesir yang turut berduka di atas kematian yang menimpanya menyambutnya. Ibu Marwa al-Sharbini dalam nada sedih berkata, “Saya tidak pernah membayangkan anak saya akan menjadi mangsa pengganas dan kami tidak menyangka akan melihat gambarnya di dalam media. Saya juga tidak pernah menyangka saya akan kehilangan anak saya dalam keadaan sedemikian”.

Katanya lagi, “jika sebelum ini saya menerimanya dengan memeluk dan menciumnya, tetapi hari ini saya hanya menerima kerandanya”. Kesedihan ibu tua itu, sekaligus menyentap perasaan umat Islam khusunya masyarakat Mesir yang terperanjat dengan tragedi yang berlaku.

Namun kematian Marwa al-Sharbini hanya diketahui oleh segelintir umat Islam di seluruh dunia. Wanita yang syahid hanya kerana mempertahankan jilbabnya itu tidak mandapat liputan meluas sebagaimana matinya seorang Raja Pop, Michael Jackson. Begitulah reaksi kematian Marwa al-Sharbini yang hanya seorang ibu dan bukannya Raja Pop dunia!


Dipetik dari majalah AL ISLAM September 2009
Bahagian: UMUM
M/s: 77
Oleh: Nor Shamsinor Baharin
Tajuk: MARWA AL-SHARBINI, tangisan kematiannya tidak sehebat Michael Jackson

_____________________________________________________________________________________________




No comments:

Post a Comment